Apakah itu kayap?
Kayap yang lebih dikenali dalam bahasa perubatan sebagai herpes zoster adalah disebabkan reaktivasi virus bernama Varicella Zoster yang dorman atau ‘tidur’. Virus ini adalah virus yang sama yang menyebabkan penyakit cacar air atau ‘chicken pox’. Apabila seseorang itu pernah dijangkiti cacar air, virus ini akan ‘tidur’ atau menjadi dorman di ganglia akar dorsal saraf. Ini bermakna jika anda pernah mengalami penyakit cacar air, besar kemungkinan anda mungkin boleh mendapat kayap jika sistem pertahanan tubuh anda lemah!
Penyakit kayap ini lebih sering terjadi kepada orang yang mempunyai sistem pertahanan yang lemah dan juga golongan tua. Permulaan penyakit ini, seseorang akan berasa sakit pada anggota badan tertentu yang diikuti oleh ruam jenis gelembung air mengikut dermatom atau topografi saraf di kulit. Selalunya hanya satu dermatom yang terlibat. Pada kebiasaannya ruam kayap ini akan pulih sendiri (self-limiting).
Siapakah yang berisiko untuk mendapat kayap?
Hanya orang yang pernah dijangkiti penyakit cacar air atau ‘chicken pox’ sahaja berisiko untuk mendapat penyakit kayap. Risiko mendapat kayap dan juga komplikasi berkaitannya akan meningkat dengan pertambahan umur. Ini adalah kerana akibat penurunan imuniti sel perantara terhadap virus varicella zoster. Menurut kajian (rujukan?), wanita lebih ramai mendapat kayap berbanding lelaki. Seperti yang dinyatakan di atas, orang yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko.